** Artikel ini diterbitkan di WapCar Community dan menceritakan pendapat pengguna kereta itu sendiri (kini diterjemah ke Bahasa Malaysia). Klik pautan di bawah untuk sertai komuniti peminat kereta sejati di Malaysia!
https://forum.wapcar.my
Maklumat asas kereta saya:
Proton Putra 1.8 Manual 2000
Tujuan saya membeli kereta ini dan proses pembeliannya:
Ketika itu, saya tak ada rancangan pun untuk membeli kereta ini. Pada mulanya, saya mempunyai sebuah Proton Satria SE 2005 dan saya berniat untuk menjualnya dan hasil jualan itu digunakan untuk membaiki kereta projek saya yang lain. Saya memuatnaik gambar kereta tersebut di FB Marketplace dan sekelip mata, seorang lelaki memberi respon. Ketika itu, saya tak tahu kereta apa yang dimiliki lelaki berkenaan, dia cuma memberitahu yang dia mengalami banyak masalah dengan kereta yang dimilikinya dan ingin mencari kereta yang tak banyak masalah untuk dibaiki, selain daripada selesa untuk digunakan sebagai kereta harian.
Dari perbincangan ini, kami pun tetapkan masa untuk bertemu, dan dia serta-merta tertarik dan membuat tawaran untuk membeli Satria saya. Kami berjumpa di kawasan yang agak gelap dan saya tak perasan jenis kereta yang dipandunya. Sambil berbual, dia menyebut tentang keretanya (Putra) yang dikatakannya mengalami banyak masalah.
Saya tahu Proton Putra memang ‘rare’. Dia kemudiannya menunjukkan saya keretanya dan memberitahu ada beberapa masalah kereta yang perlukan masa dan wang untuk dibaiki. Katanya, tambahan pula isterinya sedang mengandung ketika itu, maka dia tiada masa dan wang untuk membaiki kereta tersebut. Melihat keterujaan saya, dia akhirnya menawarkan keretanya sebagai ganti untuk kereta saya. Memandangkan ia kereta idaman saya sejak kecil lagi, dan ia adalah kereta paling berkuasa pernah dihasilkan Proton, saya tak fikir panjang dan terus bersetuju dengan tawarannya walaupun kereta itu bermasalah.
Sebab saya membeli kereta ini:
Saya menerima tawaran lelaki tersebut kerana Proton Putra ialah model yang sangat-sangat ‘rare’ dan saya memang dah lama minat dengannya. Ini bukanlah kereta yang selalu anda lihat di jalan raya.
Pengalaman pemilikan Proton Putra 1.8 Manual
Sepanjang tempoh setahun pemilikan, saya mengambil masa 11 bulan dan dana yang banyak untuk memulihkan kereta ini. Apabila saya membawa pulang kereta ini, warna pada panel badannya tidak seragam dan terdapat banyak bahagian kemek di sekitar badan kereta. Enjin dan kotak gearnya bocor teruk, dan salah satu daripada silindernya sudah hilang kemampatannya.
Kelebihan Proton Putra 1.8 Manual saya
Enjin berkuasa tinggi
Pengendaliannya bagus
Tahan lasak
Jarang ditemui
Nilai pasaran masih tinggi
Banyak pilihan alat ganti berprestasi tinggi di pasaran ‘aftermarket’
Kekurangan Proton Putra 1.8 Manual saya
Penggunaan minyak tinggi
Cukai jalan mahal
Kes kecurian kerap untuk model ini
Penilaian Proton Putra 1.8 Manual saya
Skor penuh: 4/5
Prestasi: 3/5
Kualiti dan Kelengkapan: 3/5
Ruang: 3/5
Keselesaan perjalanan: 4/5
Penjimatan minyak: 2/5
Kos dan harga: 3/5
Rumusan:
Walaupun ia sebuah kereta lama dengan pelbagai kekurangan, saya masih rasakan ia layak untuk dibaiki dengan sempurna dan ia masih ada potensi dari zaman kegemilangannya.
Perkara pertama yang saya lakukan keatas kereta ini ialah membuang bahagian badan hadapan yang ala-Mitsubishi Cyborg kepada bahagian asal C99 Putra sebelum ia dihantar ke bengkel cat dan ‘bodywork’.
Setelah ‘bodywork’nya selesai, pembinaan semula enjinnya pun bermula. Saya jalankan ‘overhaul’ sepenuhnya keatas enjin kereta ini dan menaiktaraf dalaman enjin kepada piston berkemampatan lebih tinggi (ART Mivec 82mm), camshaft berprofail lebih tinggi, dan macam-macam lagi komponen ‘aftermarket’ yang lain. Saya terpaksa menggantikan ‘casing’ kotak gearnya kerana yang asal sudah retak dan menyebabkan kebocoran. Klac berprestasi ‘aftermarket’ juga didatangkan sekali.
Bagi sistem pendawaiannya pula, saya telah menukar ‘coil’ biasanya kepada sistem ‘coil-on-plug’ dari enjin K20 Honda. Bagi ‘intake manifold’nya pula, saya naiktaraf yang asal kepada Skunk2 Racing. Bagi rimnya pula, saya memilih Rep SSR type-C 15 inci 7 JJ ET 35, dibalut dengan tayar Advan Neova AD08R 205/50 di hadapan dan 195/55 di belakang.
Sekilas pandang, kereta ini sudah nampak cukup sempurna. Namun, percayalah, masih banyak kerja-kerja yang perlu dilakukan. Pertama sekali, saya betul-betul nak ganti semua ‘bushing’ dan getah-getah di bahagian bawah kereta ini. Disebabkan usianya yang sudah lanjut, saya pasti semuanya sudah lusuh.
Kemudian, bahagian dalamannya pula perlu diusahakan. Ada beberapa komponen yang hilang. Saya masih cuba untuk mencari komponen original supaya kondisi asalnya boleh dikembalikan.
Jujurnya, saya bukanlah mekanik kereta yang pakar serba-serbi. Tapi, saya gembira yang saya masih mampu memulihkan kebanyakan komponen kereta ini dengan tulang empat kerat saya sendiri dan apa saja peralatan yang saya ada. Bagi saya, inilah perkara yang paling memuaskan hati.
📢📢Pengumuman:
Setelah membaca ratusan kisah Rebiu Pemilik, adakah anda berminat untuk berkongsi kisah anda sendiri? WapCar dengan berbesar hati ingin menjemput ANDA untuk berkongsi kisah dan pengalaman peribadi tentang kereta kesayangan anda sendiri!
Anda juga mungkin berpeluang untuk menerima cenderahati istimewa daripada WapCar! Daftar sekarang untuk dapatkan maklumat lanjut dan staf dari WapCar sendiri akan menghubungi anda selepas pendaftaran berjaya dibuat. Jom!
Comments
No Comment Yet
Be the first to share what you think!