** Artikel ini asalnya diterbitkan dalam Bahasa Inggeris di WapCar Community, platform perkongsian pendapat dikalangan pembaca. Klik pautan di bawah untuk sertai komuniti peminat kereta di Malaysia
Info asas tentang kereta saya:
2011 Mazda 6 2.5L Touring Hatchback
Sebab saya membeli kereta ini
Nota: Saya menetap di Australia sejak 2008, oleh itu pengalaman orang lain dengan Mazda 6 2011 mungkin berbeza sedikit. Rebiu ini sepatutnya ditulis pada Januari 2020 kerana ketika itulah saya akhirnya, dengan berat hati, menjual Mazda ini. Dua kereta pertama saya di sini ialah 1999 Honda Integra DC2, diikuti dengan 2008 Ford Focus TDCi (ya, turbodiesel). Kedua-dua kereta ini manual, pilihan kegemaran saya. Saya pernah berkata yang “jika ada sesiapa yang berjaya meyakinkan saya untuk membeli kereta auto, orang itu pastinya wanita yang akan saya kahwini.” Ternyata, itulah yang terjadi. Wanita yang akhirnya menjadi suri hidup saya menjadi sebab saya terpaksa membeli kereta auto supaya kami boleh berkongsi kereta tersebut. Ya, kereta di Australia lebih murah (baru atau terpakai), tapi pendapatan saya tak cukup tinggi pada masa itu, maka kami tak perlukan kereta kedua. Isteri saya pernah berjanji yang satu hari nanti, saya boleh beli kereta manual lagi. Oleh itu, nantikan perkembangan seterusnya kerana saya mungkin akan ada satu lagi rebiu untuk kereta baru dalam masa setahun lagi.
Proses pemilihan kereta
- Saya ada bajet sekitar 17, 500 AUD (RM 55,000)
- Antara model-model lain yang pernah saya pertimbangkan ialah: Mazda 3, Honda Accord Euro
Sebab saya memilih kereta ini
Populariti jenama Mazda di Australia sejak 2005 hingga kini amat berbeza jika dibandingkan dengan popularitinya di Malaysia. Sehingga ke hari ini, saya masih beranggapan yang kereta-kereta Mazda di Malaysia tidak mampu bertahan dari segi nilai jualan semula, walaupun kualiti binaan dan spesifikasinya selalunya melangkaui jenama-jenama lain yang lebih popular. Malangnya, harga kereta Mazda yang baru di Malaysia juga amat tinggi, menyumbang kepada prestasi jualannya yang rendah. Di Australia, kereta Mazda dianggap tahan lasak sama seperti Toyota, tapi lebih seronok dipandu. Oleh itu, saya mahukan kereta yang pengendaliannya bagus, seperti yang anda boleh jangka dari kereta-kereta lama saya iaitu Honda Integra dan Ford Focus.
Dengan kereta ini yang torknya cukup tinggi (320 Nm!) pada enjin turbodiesel, saya rasa saya takkan dapat patah balik kepada kereta yang kurang daripada 200 Nm. Lagipun, tempat kerja saya ketika itu terletak di kawasan cerun dan berbukit. Pada mulanya, saya mahu membeli Mazda 3 2.5L (tiada di kebanyakan negara di luar AS dan Australia), namun saya fikir lebih baik tambah kira-kira $2,000 AUD dan beli Mazda 6 dengan ‘spec’ lebih bagus. Kuasanya setinggi 168 hp dan tork 225 Nm, namun saya terpaksa rev tinggi sedikit (4,000 RPM) untuk dapatkan tork maksima – berbanding hanya 2,000 RPM pada kereta turbodiesel saya yang lama. Bapa mertua saya terkejut dengar kapasiti 2.5 liter.
“Kenapa besar sangat? Bazir minyak! Tak boleh ke ambik enjin 2.0L?” soalnya. Isteri saya terpaksa menjelaskan kepada bapanya yang di Australia, mustahil nak dapat Mazda 6 2.0L kerana itu terlalu ‘underpowered’ bagi standard orang Australia. Kereta segmen D lain yang saya pertimbangkan ketika itu ialah Honda Accord Euro – hampir 200 hp dengan enjin 2.4L VTEC. Bagaimanapun, ruang dalamannya jauh lebih sempit, dan penjagaannya memakan kos lebih tinggi, selain makan minyak. Ia juga perlu diisi dengan petrol RON95, dianggap sebagai minyak “semi-premium” di sini, sedangkan Mazda 6 hanya perlu RON 91.
Pengalaman pengguna
- Saya sudah lengkapkan perjalanan sejauh 52,000 km. Purata penggunaan minyak kereta saya ialah 10.2L/100km.
Apabila saya membelinya pada 2017, ini merupakan kereta paling luas dan mewah yang saya pernah miliki. Kemasan kulit di kabin, kerusi boleh-laras elektronik dengan ‘memory function’ sampaikan rakan sekerja saya (yang habiskan duit untuk beli Audi A4 ex-demo berharga $65k AUD) rasa cukup ‘jealous’. Lampu depan auto, wiper auto, kawalan iklim dwi-zon. Bagi sebuah kereta yang dikeluarkan pada 2011, ia lengkap dengan segala aspek keselesaan yang boleh didapati pada masa itu, kecuali Android Auto/Apple CarPlay dan salur penghawa dingin di belakang. Dua kelengkapan ini amat sukar untuk ditemui ketika kereta ini dikeluarkan dahulu. Dan seperti yang dijangka dari kereta Mazda, pengendaliannya sangat mantap walaupun ia kereta segmen D dengan berat kasar melebihi 1,500 kg.
Malangnya, bapa mertua saya memang betul bila bercakap tentang penggunaan minyak kerana kereta ini agak teruk untuk segmennya. Purata penggunaan minyak kereta ini adalah antara 10 ke 11 L/100 km bagi pemanduan di sekitar suburb di Melbourne. Walaupun saya pernah capai 6.5 L/100 km dulu semasa perjalanan jauh ke Adelaide, angka ini disumbang oleh rekaan aerodynamic kereta ini. Prestasi enjinnya biasa-biasa saja bagi enjin 2.5L, dan torknya masih tidak setanding kereta turbodiesel saya yang dulu. 168 hp sudah cukup bagus untuk memotong kereta lain di lebuhraya dengan mudah. Kotak gear auto ‘torque converter’ 5 kelajuannya biasa-biasa saja, namun tindak-balas fungsi ‘manual shift’nya agak perlahan. Tapi, apakah kelebihan kereta yang tak berapa nak jimat dan ‘perform’ ini? Disebabkan drivetrain-nya ringkas dan tidak terlalu moden, ia teramatlah tahan lasak dan murah untuk diselenggara. Saya tak pernah berdepan masalah dengan kereta ini sepanjang 3 tahun memilikinya.
Seperti yang anda boleh lihat dalam salah satu gambar ini, ia adalah hatchback dan bukannya sedan seperti yang boleh didapati di Malaysia. Oleh itu, praktikalitinya menyerupai wagon, tapi rupa dari sisinya amat bergaya dan hampir serupa dengan Audi A5 Sportback yang lebih tinggi. Jika kerusinya dilipat, saya boleh memuatkan banyak barang dan bagasi apabila hendak berpindah rumah. ‘Sound system’nya biasa-biasa saja untuk segmen ini, memandangkan versi yang saya dapat ialah tahap trim ‘Touring’, maka ia tidak didatangkan dengan ‘sound system’ Bose, hanya jenis 6 speaker standard.
Kelebihan Mazda 6 2.5 Touring Hatchback 2011 saya
Amat berbaloi bagi sebuah kereta terpakai.
Sangat tahan lasak. Tak ada isu mekanikal langsung.
Rekaan hatchback memberikannya rupa sisi yang bergaya, disamping but yang sangat praktikal dengan kapasiti 510 liter.
Pengendaliannya semantap sports car.
Ruang kaki di tempat duduk belakang cukup luas sebagai kereta segmen D.
Kualiti binaan ruang kabinnya amat mengagumkan memandangkan ia model CBU Jepun.
Kekurangan Mazda 6 2.5 Touring Hatchback 2011 saya
Nilai jualan semula yang rendah di Malaysia, tapi bagus untuk pembeli kereta terpakai.
Penggunaan minyak tinggi untuk pemanduan di bandar/suburb (enjin SkyActiv baru dari 2012 dan seterusnya jauh lebih bagus dalam aspek ini).
Enjin 168 hp tak cukup berkuasa walaupun kapasitinya 2.5L.
Kotak gear auto 5 kelajuan tidak begitu ‘sporty’ atau responsif.
Bunyi kabin lebih bising di lebuh raya berbanding kebanyakan kereta segmen D lain.
Penilaian Mazda 6 2.5 Touring Hatchback 2011 saya
Skor Penuh: 4/5
Prestasi: 3/5
Kualiti & Kelengkapan: 5/5
Ruang: 5/5
Keselesaan Perjalanan: 4/5
Penjimatan Minyak: 2/5
Harga & Kos: 4/5
Rumusan
Sebagai kereta segmen D terpakai, pengalaman pemilikan saya memang hebat. Jika saya tak dapat ‘company car’ pada 2020, besar kemungkinannya saya masih akan menyimpan Mazda 6 ini sehingga ke hari ini.
Kisah menarik bersama Mazda 6 2.5 Touring Hatchback 2011 saya
Seminggu selepas saya membeli kereta ini, sebiji skru besar tertusuk ke dalam tayar depan sebelah kanan kereta – saya terpaksa menukar tayar di ruang parking apartment saya. Tayar ‘spare’nya bersaiz penuh, dan saya puas hati kerana saya masih boleh menggunakannya pada kelajuan lebuh raya. Bagaimanapun, inilah masanya saya sedar yang tayar bersaiz penuh (terutamanya bagi kereta segmen D) teramatlah berat! Memang berpeluh-peluh la masa tukar tayar tu.
📢📢Announcement:
After reading a countless number of Owner Review stories, are you interested in sharing your own story also? WapCar sincerely invites YOU to share the genuine feelings of your car!
You may receive special souvenirs from WapCar! Sign up now to know more! WapCar staff will contact you shortly after you sign up.